
Masihkah
kita ingat akan tragedi Misi Kemanusiaan Mavi Marmara yang mengocak
sensitiviti umat Islam sedunia? Saya berpandangan di kalangan kita pun
sedia maklum bahawa misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin di bawah
payung “Mavi Marmara” turut dipimpin oleh tokoh Mairead Maguire yang
merupakan pemenang Anugerah Nobel 1976. Jika kita imbau latar belakang
beliau, beliau merupakan tokoh katholik Kristian yang aktif sebagai
sukarelawan Legion of Mary yang mengetengahkan agenda Kristian ke
seluruh dunia.
Dalam masa yang sama juga, beliau juga merupakan
co-founder kepada Committee on the Administration of Justice yang
ditubuhkan pada tahun 1981 yang secara teang-terang membawa perjuangan
hak asasi manusia secara mutlak sepertimana yang terkandung dalam
Universal Declaration of Human Rights (UDHR) (termasuk LGBT).
Berdasarkan kepada fakta di atas, adakah wajar untuk kita mendakwa
bahawa perjuangan “Mavi Marmara” itu adalah agenda Kristianisasi dan
LGBT hanya disebabkan penglibatan seorang tokoh yang bernama Mairead
Maguire. Sekiranya latar belakang beliau menjadi ukuran besar sehingga
boleh mencemarkan agenda “Mavi Marmara”, mengapakah pihak kerajaan Turki
termasuk Humanitarian Relief Foundation (IHH) tidak menyekat beliau
dari terlibat langsung dalam misi kemanusiaan ini?
Susulan dari
tiga siri demonstrasi menuntut Pilihanraya yang bersih dan adil yang
dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya yang bersih dan adil (BERSIH), saya
amat terkilan dengan kewujudan dakwaan dangkal pihak yang tidak
bertanggungjawab yang menanggapi sokongan NGO-NGO Islam terhadap BERSIH
sama seperti menyokong agenda songsang Lesbian, Gay, Bisexual, and
Transgender (LGBT) dan murtad.
Kenyataan
jahat ini seakan-akan menggambarkan kegagalan pihak mereka untuk
berfikir secara rasional, serta kedangkalan dalam membezakan kepentingan
menuntut pengendalian tatacara pilihanraya yang telus serta tidak
diragui integritinya dengan sokongan ke atas agenda-agenda yang
dikaitkan dengan Dato’ Ambiga Srevanisan seperti LGBT dan Murtad.
Berdasarkan
rekod perjuangan membawa agenda Islamisasi umat, saya berkeyakinan
besar bahawa NGO Islam yang menyokong BERSIH seperti ABIM dan IKRAM sama
sekali tidak bertoleransi terhadap sebarang usaha untuk mengarus
perdanakan budaya songsang LGBT dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Sebaliknya, usaha ini telah dibantah keras oleh NGO Islam. Sebagai
contoh menerusi permuafakatan NGO Islam atau Allied Coordinating
Committee of Islamic NGOs (ACCIN), ABIM turut terlibat dalam membuat
laporan polis pada November 2011 di Balai Polis Pantai Bharu yang
mengecam penganjuran Festival Seksualiti Merdeka 2011 yang dilihat cuba
untuk membawa budaya songsang seperti LGBT secara terang-terangan. ABIM
juga sepanjang zaman tetap konsisten dengan perjuangan menentang secara
keras segala usaha untuk mencemarkan pegangan akidah umat Islam tanpa
mengira kedudukan dan fahaman politik mana-mana pihak.
Tindakan
menyamakan sokongan terhadap isu pokok iaitu menuntut Pilihanraya yang
bersih dengan sokongan terhadap agenda Kristianisasi yang hanya
bersandarkan kepada latar belakang individu yang bernama Dato Ambiga
yang secara kebetulan dikatakan mirip dengan LGBT dan pemurtadan adalah
sesuatu yang di luar logik fikiran. Cuba bayangkan sekiranya perjuangan
BERSIH ini dipimpin oleh tokoh Ulama terkemuka dalam negara, adakah
kelompok bukan Islam yang menyokong isu pokok yang dibawa BERSIH ini
boleh dikatakan telah memeluk agama Islam atau menjadi kuda tunggangan
kepada agenda Islamisasi?
Dalam pada itu, saya tertarik untuk
berkongsi pendirian yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung Komenwel
Kamalesh Sharma dalam satu laporan pada Julai 2011 ketika lawatannya ke
Australia yang dengan keras menentang diskriminasi yang dilakukan
terhadap kumpulan gay atau lesbian. Beliau selanjutnya menyebut
“vilification and targeting on grounds of sexual orientation are at odds
with the values of the Commonwealth”.
Sebagai salah sebuah
negara Komenwel, adakah wajar kita menyamakan tindakan pemimpin negara
yang secara konsisten mempertahankan keanggotaan Malaysia dalam Komenwel
sebagai kelompok yang memperjuangkan LGBT hanya beralaskan kepada
kenyataan yang dikeluarkan Kamalesh Sharma?
ANALOGI
Mungkin
untuk lebih mudah difahami, saya ingin kemukakan kepada pembaca satu
analogi paling mudah. Cuba bayangkan satu senario kita berada dalam
sebuah pasaraya. Sewaktu kita berbaris untuk membuat bayaran, tiba-tiba
timbul kekecohan bahawa berlaku penipuan yang dilakukan di pihak
pasaraya iaitu harga barang yang didaftarkan di mesin “cashier” tidak
sama dengan harga barang yang ditandakan pada tag harga.
Secara
kebetulan kekecohan tersebut telah ditimbulkan oleh seorang tokoh
Kristian yang terkenal dengan perjuangan Kristianisasi disebabkan beliau
satu-satunya pihak yang dapat mengesan penipuan tersebut dan mempunyai
akses maklumat yang lengkap berbanding pembeli lain kerana kepakaran
yang dimiliki. Maka, tokoh tersebut mendesak pihak atasan dan pengurusan
pasaraya tersebut untuk membuat siasatan dan meminta satu penjelasan
yang jelas diberikan.
Insiden tersebut telah menyebabkan pembeli terbahagi kepada tiga kelompok.
Kelompok
pertama adalah mereka yang tidak mahu penipuan dan penganiyaan
dilakukan oleh pihak pengurusan pasaraya terhadap mereka. Maka kelompok
ini tanpa memikirkan latar belakang tokoh Kristian tersebut telah turut
bersama membuat aduan dan menuntut penjelasan yang jelas dari pihak
atasan dan pengurusan pasaraya. Kelompok ini turut mengambil
pertimbangan waras dan berfikiran jauh sekiranya tindakan tidak diambil
kemungkinan besar saudara-mara, atau rakan-rakan mereka juga akan
menjadi mangsa penipuan di suatu masa nanti.
Kelompok yang kedua
pula ialah kelompok yang meninggalkan barang yang ingin dibeli dan
kemudian beredar dari pasar raya tanpa membuat apa-apa. Ini adalah
kelompok yang pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab dengan
membiarkan penipuan tersebut berlaku. Kelompok ini juga tidak berfikir
panjang bahawa kemungkinan penipuan sebegini juga akan berlaku ke atas
kaum kerabat serta teman-teman mereka yang akan membeli belah di
pasaraya tersebut.
Kelompok ketiga adalah kelompok yang tidak
memberi sebarang inisiatif untuk selesaikan masalah yang timbul dengan
menuntut kebenaran dan keadilan, sebaliknya mengecam kelompok pertama
kerana bersekongkol dengan tokoh Kristian tersebut yang mendesak
penipuan itu disiasat dan dihentikan atas sebab secara kebetulan latar
belakang tokoh Kristian tersebut. Kelompok ini juga telah menasihati
pembeli lain bahawa aduan dan gesaan yang dilakukan tidak perlu
sebaliknya menyarankan kepada pembeli untuk menyerahkan sepenuhnya
kepada kebijaksanaan pihak atasan dan pengurusan pasaraya. Kelompok ini
juga menyatakan bahawa “yang penting kita sebagai pembeli perlu
menunaikan kewajipan dengan membuat bayaran sekiranya mahu memiliki
barang yang dibeli tanpa perlu menyiasat sebarang keraguan,
penyelewengan dan penipuan yang berlaku”.
Berdasarkan
pertimbangan akal yang waras dan rasional, serta fitrah manusiawi yang
sentiasa mencintai kebenaran dan menyayangi keadilan, kelompok manakah
yang akan dipilih oleh kita ketika mana kita berada dalam situasi di
atas?
Sudah tentu kita tidak akan memilih untuk berada dalam
kelompok yang ketiga melainkan disebabkan tiga faktor utama. Faktor
pertama adalah disebabkan kedangkalan serta kebodohan mereka sendiri
khususnya dalam membuat keputusan. Kedua adalah faktor hutang iaitu
kemungkinan mereka telah berhutang sama ada budi atau wang ringgit
(termasuk rasuah) dengan pihak atasan pasar raya yang menyebabkan mereka
terpaksa mempertahankan tindakan penyelewengan pihak atasan pasaraya
tersebut sebagai balasan kepada hutang (rasuah) yang dibeikan. Faktor
ketiga adalah kerana faktor kroni iaitu kemungkinan pasaraya tersebut
dimiliki oleh anak-beranak, atau saudara mara mereka. Selain dari
ketiga-tiga faktor ini seseorang insan tidak akan dengan dayus menggadai
kehendak fitrah manusiawi yang dianugerahkan Allah kepada dirinya iaitu
sentiasa mendambakan kebaikan, kejujuran, dan ketelusan dengan menjadi
kelompok yang ketiga.
Islam termasuk bidang ketatanegaraan dan tatakelolaan yang baik.
Dalam
konteks gerakan Islam yang menjunjung tinggi kesyumulan ajaran itu
dalam setiap aspek kehidupan termasuk ketatanegaraan dan tatakelolaan
yang baik (Good Governance), kita harus menilai tuntutan-tuntutan yang
dikemukakan BERSIH itu sebagai suatu yang perlu dipandang berat oleh
umat Islam selaku teras politik di negara ini seperti kewujudan nama
pengundi yang meragukan (pengundi hantu), integriti saluran undi POS,
akses saksama kepada media untuk semua parti politik, dan integriti
serta kedudukan institusi-institusi awam selaku badan yang bebas dari
pengaruh partisan mana-mana kelompok politik di samping amalan politik
kotor dan rasuah yang sering diperkatakan oleh rakyat di peringkat akar
umbi.
Ini memandangkan pengendalian pilihanraya yang telus serta
tidak diragui integriti tatacara penganjurannya merupakan esensi penting
untuk mendapatkan permuafakatan aspirasi rakyat serta pra-syarat kearah
menjadi sebuah Negara yang baik atau “baldatun toyyibatun wa rabbun
ghafur” bagi mencapai barakah dan keredhaan Allah. Bahkan umat Islam
sendiri dituntut sentiasa jujur serta amanah dalam setiap apa yang
dikerjakan.
Dalam perkembangan berkaitan, saya turut merasakan
bahawa umat Islam perlu menganjak paradigma politik kontemporari mereka
serta mengelakkan diri dari terkongkong dalam persepsi politik dangkal
yang digerakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya akan
merugikan kedudukan Islam itu sendiri di negara ini.
Bahkan saya
khuatir, sekiranya situasi ini berterusan (mengaitkan sokongan BERSIH
dengan agenda LGBT & Murtad), ia akan mengembangkan persepsi negatif
terhadap umat serta gerakan Islam yang dianggap lesu dalam perjuangan
demokrasi kerana gagal menilai secara objektif isu pokok yang
dikemukakan. Ini secara tidak langsung akan membuka ruang untuk
pendokong LGBT dan gerakan pemurtadan mendampingi kelompok besar rakyat
yang mahukan agenda kebenaran dan keadilan ditegakkan di negara ini.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
P/s: BTJ harap artikel yang baik ini dapat memberi pencerahan kepada golongan yang menolak atau menyokong BERSIH.
No comments:
Post a Comment