Bukanlah populariti yang hendak dikejar, namun keberadaannya dalam bidang seni secara tidak langsung mengalungkannya dengan status public figure.
Sebagai selebriti, setiap langkah wanita berusia 33 tahun ini menjadi perhatian masyarakat termasuk kehadirannya dalam majlis-majlis ilmu dan motivasi.
Ramai yang tersalah sangka, Wardina kini menceburi bidang baru sebagai penceramah agama dan motivasi, namun ibu kepada tiga anak ini sekeras-kerasnya menafikan tanggapan itu.
“Saya bukan penceramah agama atau motivasi kerana saya tiada tauliah dan kelayakan dalam bidang berkenaan.
“Saya hanyalah seorang student of knowledge yang belajar daripada sesiapa dan dari mana-mana sahaja. Daripada makcik jual kuih tepi jalan pun banyak yang boleh saya pelajari,” jelas Wardina melalui kiriman e-mel kepada Zass.
Malah, kata Wardina, dia juga tidak mahu masyarakat terus menggelarnya sebagai penceramah mahupun motivator.
“Saya seorang wanita, ibu, aktivis, Muslim, isteri dan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dan kebaikan untuk saya, anak-anak dan negara ini, kerana jujurnya saya amat risau dengan apa yang saya lihat kini.
“Saya cuma bertukar idea dan pengalaman dalam tulisan, lisan dan perbuatan dengan mereka yang mahu membina minda bersama berfikir secara kritis, memperbaiki diri dan mencari inspirasi sama seperti saya mahu belajar dari sesiapa sahaja,” kata Wardina mengenai aktivitinya ketika ini.
Air mata tumpah
Dalam melaksanakan tanggungjawabnya, menurut Wardina, dia langsung tidak mengharapkan pujian apatah lagi mengejar anugerah dan wang.
Namun, bukan sekali dua air matanya tumpah setiap kali berdepan dengan fitnah dan hinaan mereka yang kurang menyenangi lantaran kelantangannya dalam berbicara dan menyuarakan pendapat.
“Saya sanggup tinggalkan anak-anak, berkorban masa dan tenaga kerana ini sudah saya anggap sebagai tanggungjawab.
“Saya tak mahu duduk diam tanpa melakukan apa-apa. Saya akan tetap menghulurkan tangan pada remaja, kanak-kanak serta wanita yang saya sayangi bersesuaian dengan kapasiti saya,” katanya.
Menurut Wardina, kadangkala dia tertanya-tanya adakah dia sudah melakukan dosa sehingga ada segelintir masyarakat tidak dapat menerima caranya.
“Ya, benar saya tidak sempurna. Maafkan saya. Tapi saya mahu lebih baik kerana demi ALLAH saya sedang menjaga diri, hati dan iman ini sebaiknya.
“Apabila dikeji dengan kata-kata hina daripada musuh, kita lebih banyak muhasabah dan belajar memperbaiki diri. Jika ini menjadikan saya lebih baik, berilah saya lebih dugaan. Jika pujian menyebabkan saya rasa khayal dan selesa, maka tidak sekalipun saya inginkan,” ujarnya.
Lebih cantik dari JLo?
Sempat juga bertanya kepada Wardina mengenai topik yang hangat dibualkan di internet mengenai artikel berkaitan dirinya di sebuah portal.
Melalui laporan itu, Wardina dipetik sebagai berkata dalam sebuah majlis bahawa dia lebih cantik daripada Jennifer Lopez (JLo) kerana dilahirkan sebagai wanita Muslim.
Mengakui kecewa dengan berita tersebut, Wardina menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata tersebut.
“Itu adalah satu kenyataan yang bodoh kerana jika seseorang wanita Muslim itu akhlak buruknya, dia tetap tidak cantik walaupun lebih jelita daripada JLo.
“Mungkin penulis berita itu lupa perkara utama yang ingin saya sampaikan iaitu cukuplah kita berkiblatkan Barat untuk menilai ‘cantik’ dan menggunakan pelakon Hollywood seperti JLo sebagai ‘rujukan’ kita,” katanya.
Menurut Wardina, sebagai Muslim kita perlu yakin bahawa ALLAH telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian seperti yang disebut dalam Surah At-Tin.
“Tak usah rasa rendah diri kalau kita tidak seperti apa yang majalah atau Barat ‘label’ sebagai cantik.
“Cukuplah kita tiru mata, solekan, pakaian, rambut mereka. Yakinlah dalam diri yang lebih penting ialah apabila kita cantik dengan adab, akhlak, Islam, iman dan ihsan,” katanya.
Gambar Berkaitan
9 Mac 2012
No comments:
Post a Comment